Sunday, October 19, 2008

Nasihat Rasulallah (s.a.w)

Allah (a.w) menyuruh Rasulallah (s.a.w) memberitahu manusia, terutama umat Islam, bahawa wajib kita mengikuti Rasulallah (s.a.w), yakni mengikuti as-Sunnah.
Firman Allah (a.w): ‘Katakan olehmu (wahai Muhammad (s.a.w)) ‘Wahai sekelian manusia sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah (a.w) kepada kamu sekelian, (diutus oleh Allah (a.w)) yang menguasai (tujuh lapis)[1] langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhaq disembah) melainkan Dia, (Dia) Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan kepada RasulNya (yakni, as-Sunnah atau al-Hadith), Nabi yang ummi (tidak boleh membaca dan menulis)[2] beriman kepada Allah (a.w) dan kalimah-kalimahnya (yakni, al-Quran) dan ikutilah dia (yakni, as-Sunnah atau sunnah Rasulallah (s.a.w)), mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk (atau hidayah)[3].’ [Ayat 158, Surah al-An’am]
Di awal kertas kerja ini kita merujuk kepada sepotong hadith Rasulallah (s.a.w) yang menyatakan bahawa ada pada Rasulallah (s.a.w) itu atau yang disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) itu adalah dua yang terbaik: iaitu kalam yang terbaik iaitu kalam Allah (a.w) atau al-Quran dan petunjuk atau hidayah yang terbaik iaitu petunjuk Rasulallah (s.a.w). Dan, Allah (a.w) memberitahu kita yang Islam bahawa Rasulallah (s.a.w) itu contoh atau model ikutan terbaik. Justeru itu jika kita ikuti Rasulallah (s.a.w) yakni ikuti as-Sunnah pastilah kita beramal dan beribadah dan menjalani kehidupan kita sebagai umat Islam yang terbaik.
Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) menasihatkan kita bahawa janganlah kita remehkkan as-Sunnah atau kita tidak terima as-Sunnah dan janganlah kita mengamalkan sesuatu yang bersifat bida’ah, kerana sesiapa yang berbuat bida’ah adalah secara sengaja dan terang-terang menentang Allah (a.w). Ini disebutkan di dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Qasim bin Abdil Rahman ibni Abdillah bin Mas’ud, hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya Abdillah ibni Mas’ud (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Akan mengatur perkara (yakni, urusan jemaah Islam) di kalangan kamu sesudah ketiadaan aku beberapa lelaki (yakni, imam atau amir) mematikan (yakni, meninggalkan) sunnahku dan mengamalkan mereka bida’ah, dan mengakhirkan (yakni, melambat-lambatkan) solat dari waktunya.’ Maka berkata aku (ibnu Ma’sud): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Jika menjumpai aku akan mereka maka bagaimanakah perbuat aku?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Bertanya engkau kepada aku wahai Ibna Ummi ‘Abdin (yakni, merujuk kepada Ibnu Mas’ud) bagaimana berbuat kamu? Jangan taat kepada orang yang menentang Allah (a.w).’ [Hadith ibnu Majah]
Apabila kita tahu bahawa sesuatu amalan atau ibadah atau cara dan kaedah beribadah itu berlainan dengan perbuatan atau perlakuan Rasulallah (s.a.w), sudah pastilah itu bentuk-bentuk bida’ah, maka dengan itu jika dilarang ikuti. Kerana perbuatan tersebut adalah sesuatu perbuatan atau kelakuan yang bersifat menentang Allah (a.w). Jikalau kita teruskan juga melakukannya walaupun sudah jelas lagi terang bahawa Rasulallah (s.a.w) tidak buat atau lakukan, apa jadi? Ini dijelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith-hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah bin ad-Dalamii daripada Khuzaifah bin Yamani (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak diterima Allah (a.w) ahli-ahli bida’ah (yang mencipta, yang mengajar, yang menganjurkan dan yang mengamalkan bida’ah) amalan puasanya, tidak diterima amalan solatnya, tidak diterima amalan sedekahnya, tidak diterima amalan haji dan tidak (juga) amalan umrahnya, dan tidak diterima amalan jihadnya, dan tidak diterima amalan-amalan fardu dan tidak (juga) amalan-amalan sunatnya. Maka keluar dia dari Islam seperti keluarnya sehelai rambut dari adunan (tepong) roti.’ [Hadith #49 sahih Ibnu Majah]
Hadith di atas itu memberitahu kita hukumannya, iaitu pertama kesemua amalan dan badah kita tidak diterima oleh Allah (a.w), dan kedua, lebih serius lagi, tanpa kita sedari kita terkeluar dari Islam, wal iyazubillah. Di dalam hadith berikut pula, Allah (a.w) tidak menerima taubat kita, selagi kita kekal melakukan atau membuat sesuatu yang bersifat bida’ah.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) meriwayatkan bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sesungguhnya Allah (a.w) mendinding (yakni, menutup atau tidak akan membolehkan sampai kepadaNya) taubat pembuat-pembuat bida’ah sehinggalah dia meninggalkan bida’ahnya.’[Hadith #50, Ibnu Majah]
Hadith yang sama juga dikeluarkan oleh dua ulama’ hadith yang lain iaitu at-Tobrani dan al-Baihaqi, selain ibnu Majah yang kita rujuk di dalam hadith sebelumnya. Begitu seriusnya akibat berbuat atau beramal dengan sesuatu yang bersifat bida’ah.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) menyebut bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda:‘Sesungguhnya Allah (a.w) menolak (yakni, tidak menerima) akan taubat tiap-tiap pembuat bida’ah’ [Hadith sahih at-Tobrani dan al-Baihaqi].
Oleh itu di dalam Jemaah, kami diperingatkan supaya berhati-hati dan berwasapa. Melalui ilmu as-Sunnah kita akan tahu sesuatu yang berlainan daripada perlakuan atau perbuatan Rasulallah (s.a.w). Yang penting, ahli Jemaah diingatkan bahawa janganlah mereka menggadaikan keIslaman mereka kerana berpandukan atau membuat sesuatu yang bertentangan dengan as-Sunnah. Jangan memperdagangkan akhirat demi dunia mereka.

[1] Di dalam Ayat 12, Surah at-Tallaq disebutkan ada tujuh lapis langit. Di dalam al-Quran juga disebutkan bahawa di atas langit lapisan ketujuh itu terbangunnya ‘Arasy Allah (a.w) yang dipikul oleh delapan orang malaikat yang begitu besar mengikut hadith.
[2] Rasulallah (s.a.w) bersifat ‘ummi’ yakni buta hurup – tidaktahu membaca dan menulis – supaya tidaklah manusia itu membuat keputusan bahawa al-Quran adalah kitab karangan Rasulallah (s.a.w). beliau diutus kepada masyarakat Arab ketika itu yang pandai membaca dan menulis serta mengarang syair dan lain-lain karya bahasa dan budaya.
[3] Mereka yang mendapatbpetunjuk atau hidayah itu akan berjaya mencari dan mendapatkan jalan yang lurus (siratul mustaqim) dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat dan akhirnya medapat jalan ke syurga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...