Sunday, October 19, 2008

ASAS ILMU AL-QURAN AS SUNNAH

Allah (a.w) berfirman (menyuruh Rasulallah (s.a.w) memberitahu umatnya, iaitu kita yang Islam):
(Alhamdulillahil lazi hadana lihaza wama kunna linahtada laula an hadanallahu. Laqad ja at rusulu rabbina bilhaqqi wanudu an tilkumul jannatu urith tumuha bima kuntum ta’maluna) [Maksud: Segala puji bagi Allah (a.w) Zat yang memberi hidayah (petunjuk) kepadaku dengan ini (ugama Islam) dan tidak ada aku mendapat petunjuk (hidayah) seandainya bahawasanya tidak diberi petunjuk (hidayah) oleh Allah (a.w). Nescaya sungguh-sungguh telah datang beberapa Rasul daripada Tuhanku dengan (membawa) kebenaran (haq) (ugama Allah (a.w)) dan memanggil (atau mengajak) mereka kepada syurga yang telah diwariskan olehNya (Allah (a.w)) dengan apa-apa ada mereka mengamalkan (ugamaNya)][Ayat 40, Surah al-A’raf][1]
(Asyhadu an lailaha illallahu, wa asyhadu anna Muhammadan rasulullahi sallallahi, ‘alaihi wassallam, wa ‘ala alihi wa ashabihi ajemain) [Maksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah (a.w), dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu Utusan Allah (a.w). Selawat dan salam atas Rasulallah (s.a.w) dan atas ahli keluarganya dan para sahabatnya kesemuanya.]
(Amma ba’du) [Maksud: (Adapun kemudian daripada itu.]

Mukaddimah

Banyak pihak, terutama para pentadbir urusan atau perkara ugama Islam mengawasi tindak tanduk umat Islam terutama golongan-golongan umat Islam dalam pengajaran dan pengajian syariat ugama Islam. Mereka mengawasi jemaah yang terdiri daripada orang Melayu, kerana orang Melayu dianggap kesemuanya berugama Islam. Mereka curiga dan beranggapan bahawa adalah tanggung jawab mereka sebagai pentadbir ugama Islam, mempastikan bahawa orang Melayu tidak mengajar dan diajarkan sesuatu yang batil yang tidak dianggap oleh mereka selaras dengan syariat ugama Islam. Kerana ramai perkumpulan yang dikatakan sesat dalam Islam kerana mahaguru-mahaguru mereka mengajarkan ilmu yang sama sekali bertentangan dengan aqidah Islam.
Memang tidak dapat dinafikan ada golongan yang menyimpang daripada jalan yang betul mengenai Islam. Mereka ini adalah yang jahil tentang ilmu mengenai syariat Islam itu. Atau, pemimpin mereka mempunyai motif yang tertentu yang tidak diketahui oleh para pengikut mereka apa yang tersirat di dalam hati nurani mereka. Maka kerana kejahilan itulah orang Melayu terjebak menjadi pengikut orang-orang yang dianggap mereka berwibawa dan berilmu. Justeru itu mereka sesat dan menyesatkan pula orang lain. Antara sebab timbulnya kejahilan itu adalah mereka inginkan ilmu yang dapat memenuhi keinginan batin dan rohaniah mereka, tetapi mereka tidak diberi kesempatan atau mereka tidak berpeluang kerana banyak sebab. Antaranya, tidak ada institusi pengajian syariat Islam yang khusus untuk menyampaikan ilmu kepada mereka, pada ketika-ketika dan waktu yang bersesuaian kepada mereka atau mereka mendapat ilmu tanpa perlu keluar wang dan sebagainya.
Di Malaysia pengaruh kemazhaban begitu ketara dan kokoh. Pentadbir ugama Islam di Malaysia melihat pengajaran dan pengajian ilmu mengenai syariat Islam itu dalam konteks kemazhaban. Walaupun mungkin tidak dimaklumkan secara mutlak, orang Melayu di Malaysia adalah dianggapkan mengikuti fahaman mazhab as-Shafie. Orang Melayu yang mengikuti mazhab selain as-Shafie seringkali dianggap asing daripada kelompok majoriti Melayu. Bangsa lain, India atau Cina yang Islam tidak dihalangi mengajar dan belajar syariat Islam mengikut pandangan dan ajaran mahaguru-mahaguru mereka. Akhir-akhir ini bangkit semula isu adanya orang Melayu yang mengikuti aliran al-Wahhabiah, yang dikatakan majoriti umat Islam di Mekah dan Madinah. Ramai orang Melayu, dan termasuklah pentadbir ugama Islam Malaysia, tidak menyukai aliran al-Wahhabiah itu, dan berusaha untuk menbenterasnya berkembang di Malaysia. Anihnya, semasa mereka mengerjakan haji dan umrah di Mekah dan di Madinah, mereka mengikuti cara dan kaedah bersolat yang mereka katakan mengikuti al-Wahhabiah. Mungkin mereka berpandangan walaupun aliran yang tidak mereka akui, tetapi mereka bermufarraqah dalam keadaan terpaksa. Seolah-olah aliran al-Wahhabiah itu adalah fahaman yang menyeleweng dari as-Sunnah atau Islam, dan rendah mertabatnya daripada fahaman mazhab as-Shafie.
Dalam sinario sedemikian itu, tidak hairanlah kecenderungan para pentadbir ugama Islam di Malaysia ini – di pusat dan di negeri-negeri – membuat pelbagai tindakan seperti mengintip dan menyerbu dan ada pula yang mentohmah kumpulan-kumpulan jemaah tertentu yang menjalankan aktiviti yang berlainan daripada norma mazhab as-Shafie. Segala perilaku, perbuatan yang berkaitan dengan fahaman selain fahaman dan cara dan kaedah beramal dan beribadah yang berlainan daripada fahaman dan cara mazhab as-Shafie adalah dianggap satu pergerakan yang bertentangan dengan norma, malah penyelewengan amalan dan ibadah pada kata mata mereka. Pendeknya, pengamalan dan pengibadatan syariat Islam yang berlainan daripada amalan dan pengibadatan berlandaskan mazhab as-Shafie adalah tidak diingini dan tidak dapat diterima oleh pentadbir ugama di Malaysia.




Tujuan

Selain menjelaskan bahawa pengajian ugama Islam dan syariatnya berpandukan sumber al-Quran dan as-Sunnah adalah diwajibkan oleh Islam, Kertas Kerja ini adalah bertujuan untuk:

(a) Menjelaskan bahawa aktiviti Jemaah al-Quran dan as-Sunnah adalah semata-mata mengajarkan Islam dan syariatnya berpandukan dua sumber ilmu dan asas amalan dan ibadah tersebut, iaitu al-Quran dan as-Sunnah; dan

(b) Mendapatkan pertimbangan dan persetujuan pihak berkuasa ugama Islam untuk membenarkan pengurusan Jemaah al-Quran dan as-Sunnah meneruskan aktivitinya mengajar dan menyebarkan Ilmu al-Quran dan Ilmu as-Sunnah kepada jemaah umat Islam.

Sebagai satu usaha murni Jemaah untuk menyebarkan ilmu yang haq kepada umat Islam sejagat di Malaysia dan di mana-manapun mendapat ilmu bagi menyediakan mereka menjadi umat Islam yang bertaqwa.

Latarbelakang

Sebelum kita memanjangkan penjelasan yang ingin disampaikan dalam Kertas Kerja ini, kita mulakan dengan beberapa fakta yang haq dan mutlak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith). Kemudian kita akan teliti kegiatan Jemaah dalam mengajar dan menyampaikan ilmu mengenai Islam dan syariat Islam sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith).
Kita tahu bahawa dalam dunia ini terdapat berbagai bentuk dan jenis ugama dan berlipat ganda pula cara dan kaedah berugama – yakni beramal dan beribadah – sejajar dengan fahaman ugama tersebut. Islam adalah ugama ketiga terbesar di dunia dari segi jumlah penganut selepas ugama Kristian dan orang yang tidak berugama[2]. Di kalangan umat Islam, penganut Islam yang terbanyak adalah di Indonesia (kerana 80% rakyat Indonesia berugama Islam), kemudian Pakistan (90% Islam), Afghanistan (90% Islam), Iran (95% Islam, walaupun aliran syiah), China (kira-kira 40.0 juta Islam). Malaysia jelaslah kecil umat Islamnya berbanding dengan Negara-negara tersebut, hanya sekitar 53% daripada 24.0 juta rakyatnya.
Di Indonesia, orang Islam secara majoritinya Islam dan segolongan besar mengikuti fahaman kemazhaban, terutama as-Shafie. Namun kira-kira 10 –15% umat Islam di Indonesia adalah dalam Jemaah al-Quran dan as-Sunnah ini. Jemaah berpandukan semata-mata al-Quran dan as-Sunnah dan tidak mengajarkan jemaahnya Islam dan syariatnya berlandaskan mana-mana fahaman kemazhaban. Jumlah ini lebih ramai daripada jumlah kesemua umat Islam di Malaysia sendiri.
Dari segi sejarahnya, orang Melayu yang asalnya berugama Hindu, menjadi Islam bukan diajarkan oleh mubaligh-mubaligh yang mendalam ilmu Islamnya, walaupun mereka mungkin dianggap ulama’ oleh orang Melayu ketika itu. Kebanyakan mereka adalah peniaga dan pedagang dari pelbagai seruk dunia dan bangsa negara-negara martimi ketika itu. Mereka juga mempunyai matlamat yang strategik untuk mencari pengaruh dan untuk mencari payung dari kalangan pembesar-pembesar masyarakat Melayu di Malaysia dan Tenggara Asia. Pada mereka, bak kata pepatah Melayu ‘sambil menyelam minum air’, mengajarkan Islam dan sekali gus juga dilindungi oleh pembesar negara dan mendapat pelbagai kemudahan. Mereka membawakan ilmu mengenai Islam dari kitab-kitab dan karangan-karangan para ulama’ yang mereka belajar dan terjumpa. Mereka tidak datang ke Malaysia secara khusus untuk mengajarkan ugama Islam dan syariat Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith). Ada di kalangan mereka belajar ilmu mengenai ugama Islam, tetapi tidak secara menyeluruh atau berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Justeru itu, mereka sampaikan apa-apa yang mereka tahu dan faham tentang Islam. Dan, untuk mempastikan bahawa Islam yang mereka ajarkan itu mudah diterima oleh masyarakat Melayu, terutama kepimpinan Melayu, khususnya yang feudal, mereka bersedia menerima ciri-ciri adat dan dimensi budaya serta adat dan resam dan lain-lain norma yang bersifat kemasyarakatan dan adat resam nenek moyang orang Melayu. Orang Melayu pula, setelah menerima Islam, tidak pula mentela’ah serta menyemak ilmu mengenai ugama Islam untuk mengetahui sama ada mereka beramal dan beribadah sejajar dengan Islam dan syariatnya yang haq bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith). Maka kekallah amalan dan ibadah masyarakat Melayu sedemikian turun temurun sehinggalah ke hari ini.
Akhir-akhir ini, disebabkan pengaruh kemodenan fikiran dan cara dan gayahidup masyarakat majmuk di Malaysia, orang Melayu melihat dan membuat perbandingan bahawa mereka lemah, terkebelakang dan miskin serta dhaif dalam banyak perkara berbanding bangsa-bangsa lain yang bukan Islam. Ada yang berpandangan bahawa orang Melayu dhaif kerana fahaman ugama mereka yang sempit. Pandangan ini sebenarnya adalah anti-Islam kerana jika orang Melayu itu menghayati Islam tidak mungkin mereka terkebelakang walaupun ‘dunia ini adalah neraka bagi umat Islam dan syurga untuk yang tidak Islam.’ Disebabkan orang Melayu di Malaysia bergaul rapat dengan bangsa lain yang tidak Islam, mungkin mereka terpengaruh dengan cara dan gayahidup bukan Islam dan memungkinkan mereka terpengaruh dengan materialisma dan persekitaran mereka.
Umat Islam yang cetek ilmunya mengenai Islam dan kurang yakin mereka kerana iman yang nipis pula, terdedah kepada pemikiran dan pandangan rakan yang bukan Islam. Juga, tanpa ilmu yang mencukupi mengenai Islam, mereka jahil dan kurang faham tentang Islam. Malah mereka kurang faham tentang syariat Islam yang haq berpandukan as-Sunnah. Mereka diwariskan ilmu mengenai Islam oleh nenek moyang dan ibu bapa dan sedikit sebanyak oleh tok-tok guru di kampong mereka. Tidak ramai umat Islam yang menjalani pendidikan formal mengenai Islam dan syariatnya. Mungkin segolongan yang kecil belajar al-Quran (membaca dan menghafal). Segolongan yang lebih kecil yang cenderung dengan pengajian Islam mendapat sebahagian ilmu mengani Islam di sekolah, madrasah dan kolej di dalam dan di luar negara. Dalam pada itu guru-guru dan mahaguru yang mengajarkan mereka tentang Islam sendiri terpengaruh dan dipengaruhi oleh pemikiran manusia, menggunakan teks dan kitab yang dikarang oleh cerdik pandai Islam, tetapi tidak menggunakan al-Quran al-Hadith sebagai teks atau panduan mengajar ilmu mengenai Islam dan syariatnya serta keseluruhan tatacara dan tatakelakuan sebagai umat Islam yang disyaratkan oleh Allah (a.w).
Walaupun begitu, majoriti umat Islam di Malaysia sekarang ini tidak memiliki ilmu yang cukup jauh sekali kokoh untuk memandu kehidupan dunia mereka sebagai seorang Islam yang menepati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Maka dengan itulah ramai umat Islam yang tidak mengerjakan perintah dan meninggalkan tegahan dan larangan dalam Islam. Rata-rata anak-anak muda – antara 15 hingga 35 tahun – kini mencontohi prilaku dan resam orang bukan Islam dalam kehidupan sehari-harian mereka. Bagi mereka yang berilmu pula, tidak sedikit yang mementingkan keduniaan dalam menyampaikan ilmu dan membimbing masyarakat Melayu. Bagi mereka yang belajarpun mereka melakukan pelbagai perbuatan dan perlakuan yang jelas berlainan daripada ketetapan as-Sunnah. Maka dengan itulah Jemaah mengajar dan memimpin ahlinya mengenal dan mengamalkan as-Sunnah sebagaimana yang diturunkan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada umat Islam supaya tidaklah ahli-ahli jemaah terlibat dalam amalan dan ibadah yang bukan sahaja berlainan daripada as-Sunnah tetapi juga yang membatalkan amalan dan ibadah mereka sebagai orang Islam.
[1] Kalimah yang dilafazkan oleh penghuni syurga diberitahu kepada kita oleh Allah (a.w)
[2] Orang yang tidak berugamapun dianggap golongan yang mempunyai ugama yang tidak menyebut tentang wujudnya Tuhan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...