Sunday, October 19, 2008

Golongan Islam yang Berjaya

Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa jika kita tidak berpegang teguh dengan as-Sunnah, maka sudah pasti akan timbul banyak perselisihan dan perbezaan amalan dan ibadah serta cara dan kaedah beribadah itu.
Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhkan di kemudian hari nanti akan berpecah umatku (dalam hal atau perkara ugamanya) sebagaimana berpecahnya kaum Yahudi dan Nesrani dalam ugama mereka (iaitu tidak lagi berpandukan ugama yang dibawakan oleh Nabi Musa (a.s) mengikut sumber Kitab Taurat dan ugama Nabi Isa (a.s) mengikut sumber Kitab Injil). Berpecah umatku menjadi tujuh puluh tiga (73) firqah (atau golongan atau mazhab), tujuh puluh dua (72) firqah (mazhab atau golongan) (walaupun berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dari segi lahiriahnya tetapi) masuk Neraka dan satu (sahaja yang berjaya) masuk Syurga.’ Maka bertanya para sahabat: ‘Siapa golongan yang satu itu, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Iaitu mereka yang mengikut jalanku (yakni, sunnahku atau as-Sunnah) dan jalan sahabat-sahabatku yang benar lagi diberi petunjuk oleh Allah (a.w)(yakni, ‘Khalifah ar-Rasyidin al-Mahdiyin’)(iaitu, Abu Bakar as-Siddiq, Omar ibni Khattab, Othman ibni Affan dan Ali bin Abi Thalib, radiallahu anhum).’ [Hadith sahih riwayat at-Termidzi, Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad ibnu Hambal, al-Hakim, dll]
Siapakah yang Islam dan berjaya mendapat syurga? Sesungguhnya seseorang yang sempurna amalan dan ibadahnya sendiri belum pasti masuk syurga! Kerana ganjaran syurga itu hanyalah atas ikhsan dan kerahmatan Allah (a.w) semata-mata. Itu haq Allah (a.w) menentukannya.
Namun begitu, kita telah dijanjikan Allah (a.w) syurga sekiranya kita [‘mentaati Allah (a.w)’ (yakni, ikuti al-Quran)] dan [‘mentaati Rasulallah (s.a.w)’ (yakni, ikuti as-Sunnah)]. Allah (a.w) juga mengancam kita bahawa jika kita melanggar batas-batas atau ketetapan-ketetapan Allah (a.w) dan batas-batas dan ketetapan-ketetapan Rasulallah (s.a.w), kita akan terjerumus atau dimasukkan oleh Allah (a.w) ke dalam neraka. Maka dengan itu, jika kita ‘taatkan Allah (a.w)’ dan ‘taatkan Rasulallah (s.a.w)’ dan tidak melanggar batas-batas dan ketetapan-ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), kita dijamin syurga. Mengapakah orang Islam yang ‘mentaati Allah (a.w)’ dan ‘mentaati Rasulallah (s.a.w)’, kekal tidak mendapat syurga? Ini diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith-hadith berikut:
Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan bahawasanya orang-orang Yahudi (bani Israil) telah berpecah-pecah (pada iktiqad mereka itu) atas 72 jalan (golongan atau mazhab atau firqah). Maka berpecah umatku (yakni, umat Islam) atas 73 jalan, kesemuanya dalam Neraka (yakni, amalan dan ibadat mereka tidak diterima Allah (a.w), yakni kafir mereka) melainkan satu jalan golongan. ‘Berkata Abdullah bin ‘Amru (r.a): ‘Maka bertanya sahabat-sahabat Nabi (s.a.w) kepada Nabi (s.a.w): ‘Apa dia jalan yang lepas dari Neraka itu, ya Rasulallah (s.a.w)?’ ‘Jawab Rasulallah (s.a.w): ‘Iaitu barang yang aku ada berjalan atasnya (yakni, apa yang aku amal, ibadatkan dan buat atau ajarkan, tegahkan (yakni Sunnahnya) (yakni, al-Hadith)) dan jalan sahabat-sahabatku (iaitu, ‘khalifah ar-Rasyidin al-Mahdiyin’ yang empat)(yakni, sunnah khalifah tersebut).’ [Hadith gharib at-Termidzi, dan Ibnu Majah]
Hadith di atas jelas bahawa sesiapa yang beramal dan beribadah dalam mentaati Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) berpandukan as-Sunnah sahaja yang berjaya mendapat syurga. Yang majoriti tidak dapat syurga kerana mereka menyalahi ketetapan yang ketiga iaitu tidak berpandukan as-Sunnah dalam beramal dan beribadah dan menjalani kehidupan mereka di dunia. Dan juga, melalui sepotong hadith lain, umat Islam yang tidak berada dalam jemaah Islam yang satu, iaitu jemaah Islam yang berpandukan as-Sunnah, juga tidak masuk syurga. Justeru itu, kita wajib berada dalam jemaah as-Sunnah bukan berada dalam jemah lainnya, bukanlah berada dalam jemaah yang berlandaskan perkumpulan atau mazhab. Kita lihat hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Muawiyah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang Ahli Kitab (yakni, Yahudi dan Nesrani) yang sebelum kamu (yakni, Islam) telah berpecah kepada 72 firqah (mazhab), dan sesungguhnya umat ini (yakni, umat Islam) akan berpecah kepada 73 firqah (mazhab), 72 golongan dalam neraka dan satu golongan sahaja dalam syurga, mereka inilah yang mengikuti jemaah[1].’ [Hadith Bukhari dan Hadith at-Termidzi[2]]
Hanya jemaah umat Islam yang berpandukan as-Sunnah semata-mata yang berjaya mendapat syurga.


Golongan Yang Rugi

Dua hadith di atas itu jelas memberitahu dan mengingatkan kita yang Islam bahawa di akhir zaman kelak, bermula zaman kita ini, umat Islam akan berpecah sebagaimana kaum Yahudi dan Nesrani berpecah. Ada wujud ketika itu sejumlah 73 firqah atau mazhab atau kumpulan umat Islam yang kesemuanya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi hanya satu kumpulan atau golongan sahaja yang berjaya mendapat syurga, iaitu mereka yang berpandukan as-Sunnah dan sunnah khalifah yang empat selepas kewafatan beliau. Dan, mereka yang mengikuti as-Sunnah dan sunnah khalifah yang empat itu adalah di dalam suatu jemaah yang satu, iaitu Jemaah as-Sunnah.
Di dalam hadith berikut pula diperjelaskan lagi perkara ini. Rasulallah (s.a.w), pada suatu hari, memberi ceramah kepada para sahabat di mana Irbad bin Sariah (r.a) ada bersama. Apakah pesanan Rasulallah (s.a.w) yang seolah-olah memberi satu wasiat terakhir kepada para sahabat?
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman bin ‘Amrin as-Salami dan Hujran bin Hujrin berkata keduanya: ‘Datang kami kepada (yakni, menemui ‘Irbad) Irbad bin Sariyah (r.a) dan dia dari orang yang telah menjadi (asbabul nuzul) turunnya ayat ‘(Wala ‘alal-lazina iza ma atauka litahmilahum qulta la ajidu ma ahmilakum ‘alaihi) [Maksud: Dan tidak berdosa atas orang yang ketika apa-apa datang mereka kepada kamu (Muhammad (s.a.w)) nescaya memuatkan mereka (atas kenderaan kamu), berkata engkau: ‘Tidak menjumpai apa-apa yang memuatkan mereka atasnya’] [Ayat 91, Surah at-Taubah[3]]. Maka memberi salam kami (kepada ‘Irbad), (sambil berkata): ‘Datang kami kepada engkau (kepada Irbad) menziarahi kamu dan menjengok kami atas engkau dan mencari ilmu kami kepada engkau.’ Maka berkata ‘Irbad (r.a): ‘Bersolat kami bersama-sama Rasulallah (s.a.w) suatu hari, kemudian (selepas solat) dia mengadap atas kami, maka memberi nasihat suatu nasihat yang jelas, membuatkan mengalir (air mata) dari mendengar nasihat itu beberapa mata dan menggerunkan daripada mendengar (nasihatnya) beberapa hati, maka berkata aku bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Seakan-akan ini nasihat ‘selamat tinggal’ (atau meminta diri untuk pergi meninggalkan kami), maka apakah pesanan engkau atas kami?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Aku mewasiatkan kepada kamu dengan taqwa (takutkan) Allah (a.w) dan wajib atas kamu mendengar (perintah pemimpin) dan dengan taat (akan perintah pemimpin), dan sesungguhnya jika seorang hamba Habsyi sekalipun (menjadi pemimpin kamu). Maka sesungguhnya barangsiapa yang panjang umur di antara kamu selepas peninggalanku (atau ketiadaanku) maka akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib atas kamu sekelian (berpegang) dengan sunnahku dan sunnah khalifah (yakni, penggantiku) al-mahdiyin ar-rasyidin, menetapilah (yakni, peganglah) denganya (yakni, kedua-dua sunnah tersebut) dan gigitlah atasnya (yakni kedua-dua sunnah tersebut) dengan gigi gerahamkamu, dan jauhilah pembaharuan dalam perkara atau urusan ugama, maka sesungguhnya tiap-tiap pembaharuan kepada perkara atau urusan ugama adalah bida’ah, dan tiap-tiap bida’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud & juga at-Termidzi, katanya hadith hasan sahih]
Mengikut Irbad (r.a) nasihat Rasulallah (s.a.w) itu mengalirkan air mata para sahabat kerana kesedihan kerana apabila sempurna syariat Islam pastilah Rasulallah (s.a.w) akan meninggalkan mereka. Dan, juga menakutkan hati para sahabat mendengarnya kerana kemungkinan mereka tergolong dari kalangan golongan yang tersesat walaupun dalam Islam. Pesanan Rasulallah (s.a.w) merangkumi perkara-perkara atau perintah berikut:

· Hendaklah jemaah Islam sentiasa betaqwa (takutkan Allah (a.w);

· Wajib atas umat Islam atau jemaah Islam itu mendengar serta taatkan perintah dan suruhan pemimpin Islam yang memimpin mereka (walaupun mereka benci);

· Mereka wajib berpegang kuat atas as-Sunnah – sunnah beliau dan sunnah khalifah yang empat selepas beliau; dan

· Jauhi diri daripada bida’ah kerana bida’ah adalah kesesatan, dan setiap kesesatan menjerumuskan umat Islam ke dalam neraka.

Pada zaman itu, sabda Rasulallah (s.a.w), umat Islam akan mengalami perpecahan dan akan wujudnya pelbagai golongan atau perkumpulan atau mazhab. Jelaslah, Rasulallah (s.a.w) melarang umat Islam berpecah dan penubuhkan perkumpulan atau mazhab dan sebagainya. Tetapi realitinya, mengikut beberapa hadith, itu akan berlaku kerana umat Islam tidak berpandukan kepada as-Sunnah (yakni, sunnah beliau dan sunnah para khalifah yang empat).


Larangan Berfirqah atau Bermazhab

Maka dengan itulah Allah (a.w) mengingatkan kita di dalam al-Quran, Islam itu satu jemaah dan umat Islam itu satu ummah. Allah (a.w) melarang kita berkelompok atau berkumpulan atau berfirqah (yakni, bermazhab)! Ini disebutkan di dalam firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w): [Maksud: Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (a.w)(yakni, ugama Allah (a.w), iaitu Islam, yang syariatnya berasaskan al-Quran dan al-Hadith atau as-Sunnah) dan janganlah kamu berfirqah-firqah (yakni, berpecah belah dan berpuak-puak atau berkumpulan atau bermazhab secara terasing) dan ingatlah akan ni’mat Allah (a.w) atas kamu ketika ada kamu bermusuh-musuhan dalam hati-hati kamu antara satu sama lain (yakni, sebelum datangnya Islam atau Rasulallah (s.a.w) diutuskan masyarakat Islam itu berpuak-puak, berkumpulan, berfirqah, bermazhab, dan mereka berperang satu puak dengan puak yang lain, bermusuh-musuhan sesama sendiri dan antara puak-puak atau kelompok, yakni masyarakat jahiliah) maka Allah (a.w) menjadikan kamu dengan ni’matNya (yakni, ugama Islam) kamu semua bersaudara (yakni, satu ummah) dan adalah kamu atas tepi jurang Neraka (yakni, tanpa Islam itu dan jika mereka tidak Islam sudah pastilah mereka mengalami neraka dunia kerana persengketaan sesama mereka dan apabila mati dimasukkan ke dalam neraka kerana mengkufuri Allah (a.w) dan syirik terhadap Allah (a.w)), maka menyelamatkan (Allah (a.w) sekelian kamu) darinya (yakni, jurang Neraka itu), maka demikian itulah Kami (Allah (a.w)) terangkan bagi sekelian kamu tanda-tanda (kebesaran Allah (a.w)) mudah-mudahan kamu sekelian (umat Islam) mendapat hidayah (atau petunjuk, yakni mengikuti perintah Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w)).] [Ayat 103, Surah ali-Imran]
Pada awal-awal lagi Allah (a.w) sudah mengingatkan kita yang Islam supaya jangan berpecah, jangan berfirqah, jangan menubuhkan perkumpulan atau mazhab. Umat Islam itu satu ummah dan satu jemaah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, tidak berpandukan manusia yang menetapkan pelbagai perkara yang tidakpun terdapat di dalam perintah Allah (a.w) dan perintah Rasulallah (s.a.w).
Allah (a.w) menyuruh umat Islam hanya mengabdikan atau memperhambakan diri mereka kepadaNya semata-mata. Perhambaan itu hendaklah berpandukan hanya panduan al-Quran dan as-Sunnah. Hanya Allah (a.w) dan RasulNya yang menetapkan cara dan kaedah serta bentuk-bentuk amalan dan ibadah serta panduan hidup yang diredhainya berpandukan semata-mata al-Quran dan as-Sunnah. Benar, Allah (a.w) juga menyuruh umat Islam itu taatkan kepimpinan mereka, dalam ayat berikut:
Firman Allah (a.w):


[Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatkanlah Allah (a.w) dan taatkanlah Rasulallah (s.a.w) dan ‘ulil amri’ (mereka yang memiliki perkara yakni imam atau amir jemaah Islam) dari kalangan kamu; maka jika berselisihan faham kamu di dalam sesuatu (terutama, syariat Islam), maka kembalilah (yakni, rujuk) kepada Allah (a.w)(yakni, al-Quran) dan Rasulallah (s.a.w)(yakni, al-Hadith atau as-Sunnah), jika adapun kamu beriman dengan Allah (a.w)(yakni, Islam dan beriman) dan (beriman dengan) hari akhirat (yakni, hari pembalasan, atau Qiamat), demikian itu sebaik-baik keputusan yang terbaik.][Ayat 59, Surah an-Nisa’]
Tetapi, kita lupa bahawa kita mentaati ‘ulil amri’ itu hanya setakat mentaati perkara-perkara yang dibolehkan oleh al-Quran dan as-Sunnah semata-mata. Ketetapan pemimpin Islam (ulil amri) tidak termasuk ketetapan yang bertentangan dengan perintah dan ketetapan Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan perintah dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-sunnah). Ulil amri tidak ada mandat membatalkan atau meminda atau mengubahsuai perintah dan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Kerana, Islam ugama yang diciptakan oleh Allah (a.w) untuk diikuti oleh hambaNya dan Rasulallah (s.a.w), melalui perantaraan malaikat Jibrail (a.s) dan wahyu, menerimanya dan menyampaikannya dan mengajarkan hambaNya. Hanya Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) sahaja yang tahu dengan sempurna apa dia Islam dan syariatnya! Tambahan pula, firman Allah (a.w) tersebut mengingatkan kita bahawa jika umat Islam berselisih pendapat dan pandangan, mereka perlu merujuk semula untuk penyelesaian dan keputusan kepada hanya al-Quran dan as-Sunnah. Allah (a.w) tidak menyuruh umat Islam merujuk kepada ulil amri tentang Islam dan syariatnya. Dalam perkara yang tidak melibatkan Islam dan syariatnya, khususnya dalam perkara keduniaan, boleh merujuk kepada ulil amri, itupun bersyarat. Syaratnya? Jangan bertentangan dengan ketetapan dan perintah Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan perintah dan ketetapan Rasulallah (s.a.w)(yakni, as-Sunnah).
Justeru itulah, penting kita fahami bahawa umat Islam ada jemaahnya. Apabila ada jemaahnya adalah kepimpinannya (ulil amri). Bila ada kepimpinannya adalah pertalian rasmi antara kepimpinan dengan jemaahnya (yakni, perjanjian ikrar taat setia, iaitu bai’at). Jemaah Islam wujud sebagai suatu ummah dalam persaudaraan dalam Islam, diuruskan oleh ulil amri. Dalam pada itu kita wajib ingat bahawa Islam bukanlah ugama dalam erti kata konvensyen (conventional) yang difahami oleh masyarakat bukan Islam. Islam adalah satu cara hidup yang merangkumi kesemua aspek dan dimensi kehidupan manusia itu sebelum matinya.
Tata susila dan tata kelakuan jemaah terhadap pemiminnya merangkumi peradaban yang rapi, sebagaimana yang disebutkan di dalam Ayat al-Quran berikut:
Firman Allah (a.w): [Maksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin (beriman) itu adalah mereka yang beriman kepada Allah (a.w) dan RasulNya, dan ketika ada beserta mereka sesuatu perkara melibatkan jemaahnya tidak pergi mereka (yakni, meninggalkan jemaah mereka) sehingga meminta izin mereka (daripada imam atau amir mereka), sesungguhnya mereka yang meminta izin (adalah) daripada demikian orang yang beriman dengan Allah (a.w) dan RasulNya. Maka ketika meminta izin mereka dari kamu (ya, Muhammad), maka izinkanlah pada sebahagian mereka keperluan mereka barangsiapa yang engkau kehendaki dan pohonkanlah (yakni, doakanlah) keampunan bagi mereka sesungguhnya Allah (a.w) itu maha Pengampun lagi maha Penyayang.’] [Ayat 62, Surah an-Nur]
Umat Islam itu hendaklah penuh sopan dengan menghormati kepimpinan mereka (ulil amri). Ini disebutkan dalam firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w): [Maksud: Janganlah kamu (umat Islam) jadikan panggilan terhadap Rasulallah (s.a.w) itu (sebagai panggilan) diantara kamu seperti panggilan sebahagian atas sebahagian yang lain (yakni, tidaklah boleh oarng Islam itu menyamakan kedudukan Rasulallah (s.a.w) dengan kedudukan umat Islam yang lain, yakni, hendaklah dihormati dia sebagai Utusan Allah (a.w) dan pemimpin jemaah Islam), sesungguhnya Allah (a.w) maha mengetahui mereka yang meminta izin (dari meninggalkan jemaah untuk sesuatu urusan) dan yang tidak meminta izin di antara kamu sekelian, (yang meninggalkan jemaah tanpa izin itu) nescaya menyimpang kamu, maka takutlah mereka yang berselisihan (atau memisahkan) dari jemaah apabila ditimpa kerosakan (atau fitnah atau cobaan) atau ditimpa azab yang pedih (yakni, dimasukkan ke dalam neraka).]’ [Ayat 63, Surah an-Nur]
Di dalam firman Allah (a.w) berikut, kita yang Islam diperingatkan semula bahawa kita wajib berpandukan al-Quran dan as-Sunnah semata-mata dan kita tidak sekali-kali dibenarkan ikuti lain-lainpanduan atau pegangan. Jika kita ikuti selain al-Quran dan as-Sunnah akan tergelincirlah kita dalam usaha mencari siratul mustaqim itu:
Allah (a.w) berfirman: [Maksud: Dan sesungguhnya inilah (yakni, al-Quran dan al-Hadith itu) jalanKu yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain (yakni, jalan-jalan yang didorongkan oleh orang lain selain Rasulallah (s.a.w) dan khalifah yang empat itu) nanti kamu akan menyimpang dari jalanNya (yakni, tergelincir atau tersesat daripada ‘silatur mustaqim’ itu), dan demikian itulah diperintahkan Allah (a.w) kepada kamu supaya bertaqwa (kepadaNya).] [Ayat 153, Surah al-An’am]
Kemudian di dalam firman berikut pula, kita sekali lagi diperingatkan bahawa apabila kita sudah tahu perintah dan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) itu, kita tidak boleh memilih kepetapan atau perintah pihak yang lain, yakni kita tidak endahkan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Perbuatan sedemikian adalah satu penderhakaan terhadap Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w).
Contoh: Allah (a.w) memerintahkan sesiapa sahaja yang memiliki ilmu mengenai Islam (ilmu dari al-Quran atau al-Hadith), wajib disampaikan kepada orang lain. Sama ada dipinta atau tidak dipinta, sampaikan! Justeru itu, mana-mana pihak yang menghalang seseorang yang berilmu menyampaikan ilmunya kepada orang lain, dalam apapun forum, maka itu adalah suatu maksiat terhadap Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Ulil amri tidak berhak membatasi pengajaran dan penyampaian ilmu yang haq, iaitu ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah.
Firman Allah (a.w): [Maksud: Dan tidak boleh bagi seseorang orang mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah (a.w) dan RasulNya memutuskan sesuatu urusan (mengenai syariat Islam) bahawa mereka memilih dari urusan mereka (yakni, dia mengikut kehendaknya sendiri atau mereka memilih untuk mengikut perintah atau pandangan atau ajaran orang lain yang mengketepikan al-Quran dan as-Sunnah), maka barangsiapa yang menderhaka kepada Allah (a.w) dan RasulNya sesungguhnya dia telah sesat dalam kesesatan yang nyata (yakni, tidak dapat jalan Allah (a.w), ‘siratul Mustaqim’ ke syurga).] [Ayat 36, Surah al-Ahzab]
Di dalam ayat berikut Allah (a.w) sekali lagi melarang umat Islam mengadakan perkumpulan yang berasingan atau terasing. Malah mereka yang menubuhkan perkumpulan yang tidak bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah, tidak diakui umat Rasulallah (s.a.w). Apabila tidak diakui umat Rasulallah (s.a.w) akibatnya sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah al-Kauthar yang kita rujuk sebelum ini.
Allah (a.w) berfirman: [Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang membahagi-bahagikan ugama mereka (yakni, berfirqah-firqah atau bermazhab-mazhab) menjadi beberapa golongan (yakni, firqah atau mazhab) itu, bukanlah engkau (Muhammad) dari (golongan mereka) tentang apapun (yakni, bukanlah pengamalnya umat Muhammad (s.a.w)). Tidak lain urusan mereka melainkan kembali kepada Allah (a.w) (akhirnya), kemudian Dia (Allah (a.w)) akan menerangkan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan (yakni, dimana silapnya mereka)] [Ayat 159, Surah al-An’am]
Di dalam hadith berikut, Allah (a.w) menyukai umat Islam berada dalam satu jemaah Islam yang satu. Allah (a.w) sukakan umatnya berada dalam jemaah. Justeru itu pergerakan dalam jemaah yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah digalakkan dalam Islam:
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya Allah (a.w) redha (yakni, sukakan) bagi kamu tiga perkara: (pertama) tidak menyekutukan akan Dia (Allah (a.w))(yakni, syirik) dengan sesuatu apapun, (kedua) dan bahawa berpegang teguh dengan tali Allah (a.w) (yakni, ugama Allah (a.w), iaitu ugama Islam) secara berjemaah, dan (ketiga) jangan berpecah belah (atau berfirqah-firqah atau bermazhab-mazhab); dan benci Allah (a.w) bagi kamu tiga perkara (iaitu) (pertama) banyak berkata-kata dan bercakap-cakap, dan (kedua) banyak soal (tentang ugamanya, yakni segala sesuatu di dalam al-Quran dan al-hadith) dan (ketiga) pemboros atau membazirkan harta.’ [Hadith Muslim]
Di dalam hadith berikut sesiapa yang menyendiri dan tidak mahu masuk dalam jemaah Islam yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sangat dibenci Allah (a.w). Malangnya, dewasa ini ada jemaah Islam tetapi tidak berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah atau mereka berpandukan pelbagai kitab dan ajaran dan sedikit sekali al-Quran dan as-Sunnah. Ada yang langsung tidak berpandukan al-Quran ataupun as-Sunnah. Pemimpin mereka yang sendiri jahil tentang Islam dan syariatnya (berpandukanal-Quran dan as-Sunnah) memimpin jemaah mereka yang sememangnya jahil. Jemaah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah semata-mata pula dipantau kerana mereka yang memantau sendiri kurang faqih dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sesungguhnya Allah (a.w) tidak mengumpulkan umatku (atau, dalam satu riwayat lain, firman Allah (a.w)) umat Muhamamad (s.a.w)) atas kesesatan dan tangan (yakni, pertolongan Allah (a.w)) beserta jemaah dan barangsiapa bersendirian (atau menyendiri) (yakni, tidak mahu mengamalkan Islam secara berjemaah) masuk dia ke dalam Neraka.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Maka dengan itulah, akan terjadi apa yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam sabdanya dalam hadith berikut. Yang penting, pentadbir ugama Islam hendaklah meneliti dan memantau jemaah yang tidak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, kerana sudah pasti mereka sesat dan akan sesat, hanya menunggu masa sahaja. Ini ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Abi ‘Amirin Hauzani (r.a) katanya daripada Muawiyah bin Abi Sufiyan (r.a), berkata (‘Amirin): ‘Bahawasanya berdiri Abu Sufiyan di kalangan kami, maka berkata dia (Muawiyah)(ketika itu Muayiwah adalah Amirul Mukminin (khalifah) atau ketua umat Islam selepas Ali (r.a)): ‘Ingatlah bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah berdiri di kalangan kami, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ingatlah sesungguhnya barangsiapa sebelum kamu sekelian daripada ahli-ahli kitab (yakni, kaum Yahudi dan Nasrani) berpecah belah (yakni, berfirqah-firqah) mereka dalam ugamanya, dan bahawasanya ini ugama Islam berpecah (yakni, berfirqah-firqah) atas 73 golongan, 72 golongan (masuk) di dalam Neraka, dan satu golongan (sahaja) masuk Syurga, dan golongan ini (adalah mereka yang) berjemaah (yakni, mengamalkan syariat Islam secara berjemaah)[4].’ [Hadith sahih Abu Daud]
Di dalam hadith berikut pula lagi penting kita beri perhatian ketetapan Islam itu. Walaupun tidak dijadikan perundangan di Malaysia, pada Allah (a.w), ianya satu ketetapan yang tidak boleh dipersoalkan. Seseorang yang Islam tidak boleh dibunuh, kecuali kerana tiga sebab, dan satu daripadanya meninggalkan jemaah. Justeru itu dalam Islam seseorang yang sudah Islam tidak boleh murtad atau meninggalkan Islam, jika mereka meninggalkan Islam wajar mereka dibunuh.
Diriwayatkan hadith daripada Masruqin (r.a) hadith daripada Abdullah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Tidak halal darah seseorang Islam yang bersyahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah (a.w) dan aku (Muhammad (s.a.w)) adalah Pesuruh Allah (a.w), kecuali tiga golongan: (pertama) orang sudah berkahwin berzina, (kedua) dan diri atas diri (maksudnya, membunuh orang Islam lain atau membunuh diri sendiri), dan (ketiga) meninggalkan ugamanya dengan berpisah daripada jemaah.’ [Hadith Muslim]
Islam mengutamakan jemaah. Umat Islam berada atau sepatutnya berada dalam suatu jemaah Islam. Malah seseorang yang Islam meninggalkan jemaahnya jatuh kafir dan jika mati tetap di luar jemaah Islam, maka mati mereka dalam keadaan jahiliah, yakni kafir. Jelaslah, jemaah itu amat penting dalam Islam. Bukanlah ia satu rekaan manusia, tetapi perintah Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Khalid bin Wahban (r.a) katanya daripada Abi Zarr (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa memisahi (yakni, keluar dari) jemaah walaupun sejengkal (yakni, tidak menerima sesuatu ketetapan, keputusan ataupun peraturan dllnya) maka sungguh-sungguh tercabut (atau mencabut) tali (ugama) Islam dari lehernya (yakni, tidaklah lagi dia menjadi orang Islam).’ [Hadith sahih Abu Daud]
Kita telah teliti firman Allah (a.w) mengenai jemaah dalam Islam. Kita telah lihat pula ketetapan Rasulallah (s.a.w) menyentuh isu jemaah dalam Islam. Rasulallah (s.a.w) memperjelaskan lagi utamanya jemaah dalam Islam itu. Menubuhkan dan menghidupkan semula jemaah Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah wajib, mengikut hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Harith as-Syaari (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan aku memerintahkan sekelian kamu dengan lima perkara. Allah (a.w) memerintahkan aku dengan lima perkara ini. (Pertama) Berjemaah, dan (kedua) mendengar, dan (ketiga) taat, dan (keempat) berhijrah (yakni, zaman Nabi (s.a.w) orang Islam diperintahkan berhijrah ke Madinah apabila orang kafir musyrik menghalang mereka Islam, mengamalkan dan menyebarkan Islam. Kalau sekarang jika kita tidak dapat mengamalkan syariat Islam yang haq dan benar itu, umat Islam digalakkan berhijrah juga), dan (Kelima) berjihad di dalam jalan Allah (a.w) [Nota: Belajar dan mengajar dan menyebarkan syariat Islam yang haq itu adalah termasuk dalam istilah berjihad di jalan Allah (a.w)]. Maka bahawasanya barang siapa yang keluar dari jemaah walaupun sejengkal (atau kerana sesuatu perkara atau peraturan dll) maka sungguh-sungguh tercabut tali (ugama) Islam dari lehernya (yakni, keluar Islam) kecuali dia kembali (yakni, bertaubat dia), dan barang siapa mengajak dengan ajakan jahiliah (yakni, ajakan atau mengajar atau menyuruh orang beramal dan beribadat dengan sesuatu yang tidak termasuk dalam syariat Islam mengikut al-Quran dan al-Hadith) maka dia dari isi Neraka Jahanam’.
Maka berkata (para sahabat): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Dan dia itu berpuasa dan bersolat?’ Maka sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan jika dia berpuasa dan bersolat sekalipun!’ Maka bersabda lagi Rasulallah (s.a.w): ‘Jika berpuasa dan bersolat dan menyangka orang itu sesungguhnya dia Islam. Maka memanggillah akan orang Islam dan orang beriman itu dengan nama-nama mereka atas apa-apa nama mereka yang dikurniakan oleh Allah (a.w)(yakni, nama sebenar mereka, yakni jangan menggunakan nama-nama jolokan atau gelaran yang tidak baik), dan memanggillah orang-orang Islam dan orang beriman itu (dengan nama sebenarnya, kerana mereka) adalah hamba Allah (a.w).’ [Hadith sahih Imam Ahmad Ibnu Hanbal][5]
Dalam hadith di atas itu, kita diperingatkan lagi bahawa hendaklah kita berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Janganlah kita mengajarkan orang Islam lain sesuatu yang tidak ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Akibatnya berat. Berusaha mencari syurga, dapat neraka. Maka dengan itulah wajib kita beri perhatian yang utama kepada bida’ah, kerana bida’ah adalah ajakan jahiliah atau kesesatan kerana keimanan hanya bergantung kepada al-Quran dan as-Sunnah bukan pandangan atau pendapat manusia.

[1] ‘Jemaah’ di sini bermaksud ‘ahli as-Sunnah wal-Jamaah’, iaitu mereka yang beramal dan beribadat semata-mata berpandukan dua sumber iaitu al-Quran dan al-Hadith. Sila rujuk Bab 15 untuk mengetahui sifat-sifat dan ciri-ciri ahli as-Sunnah wal-Jamah itu.
[2] Di dalam hadith at-Termidzi itu dijelaskan bahawa golongan yang satu yang berjaya mendapat syurga itu adalah ‘mereka yang mengikuti jalan atau sunnah Rasulallah (s.a.w) dan jalan atau sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin’ – yang berpandukan semata-mata al-Quran dan al-Hadith.
[3] Seperti dijelaskan di dalam Surah at-Taubah, perihal orang Islam yang munafiq apakala disuruh Rasulallah (s.a.w) memerangi kafir musyrik Mekah ada yang memberi pelbagai alas an untuk tidak pergi. Maka mereka dilaknat Allah (a.w). Banyak ayat al-Quran menyebut peristiwa kelakuan munafiq ini. ‘Irbad seorang yang miskin tidak mempunyai apa-apa kenderaan untuk turut sama berjihad. Maka dia menemui Rasulallah (s.a.w) untuk turut samatetapi tiada kenderaan dan kelengkapan, maka tidak dapat dibantu oleh Rasulallah (s.a.w), maka tidaklah dia dapat pergi sama. Maka sedihlah dia. Apabila turut ayat mencela mereka yang tidak ikut sama Rasulallah (s.a.w) berperang, bertambah runsinglah dia takut tergolong dalam kalangan mereka yang digam munafiq oleh Allah (a.w). Maka turun ayat ini untuk menenangkan hati ‘Irbad dan beberapa orang Islam lain yangjuga tidak dapat turut berperang kerana sebab-sebab yang diterima Islam seperti sakit, uzur, tua dan sebagainya.
[4] Di dalam hadith lain disebutkan bahawa golongan yang satu itu adalah mereka yang beramal dan beribadat berpandukan jalan atau sunnah Rasulallah (s.a.w) dan jalan atau sunnah sahabat yang empat, atau khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, yang berpandukan dua sumber ilmu dan amalan iaitu Al-Quran dan Al-Hadith. Rujuk hadith riwayat at-Termidzi. Di dalam hadith lain pula Rasulallah (s.a.w) menyatakan bahawa semua umat Islam masuk syurga kecuali mereka yang engkarkan perintah dan suruhan beliau.
[5] Seperti dijelaskan di dalam Bab 14 sebelum ini bahawa ada sejumlah 49 kitab atau perawi hadith, seorang daripadanya adalah Imam Ahmad ibnu Hanal. Imam as-Shafie juga seorang perawi dan pengumpul hadith dalam 49 tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...