Sunday, October 19, 2008

Akibat Tidak Ikuti as-Sunnah

Walaupun kita telah fahami perintah Allah (a.w) dalam Surah al-Araf. al-Maidah dan an-Nisa, seperti telah kita teliti sebelum ini, penting kita ulangi semula berpandukan as-Sunnah Rasulallah (s.a.w). Berikut, kita teliti beberapa hadith pilihan mengenainya.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Setiap umatku masuk syurga, selain (yakni, kecuali) orang yang ‘enggan’. Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang ‘enggan’ itu?’ ‘Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Sesiapa yang mematuhi perintahku (yakni, ikuti as-Sunnah) masuk syurga, dan sesiapa yang melanggar perintahku[1], maka sesungguhnya orang itu ‘enggan’ (yakni, mereka yang ‘enggan’ itu adalah mereka yang tidak mematuhi perintah Rasulallah (s.a.w) tidak masuk syurga, yakni masuk neraka).’ [Hadith Bukhari]
Janganlah kita ambil ringan bida’ah itu kerana akibatnya amat buruk kepada kita dalam mencari keselamatan dan kesejahteraan akhirat. Ini diperjelaskan di dalam hadith berikut. Janganlah kita ikuti pendapat dan pandangan orang yang mengakui mereka alim dan berilmu dalam membuat sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jangalah kita menghalang orang yang ingin mengajarkan umat Islam tentang Islam serta syariatnya yang haq berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kita ada dua pilihan sama ada mendapat kiriman pahala sehingga qiamat dunia ataupun kiriman dosa sehingga qiamat dunia. Apabila kita ragui sesuatu itu haq kah atau batilkah – kita was-was – hendaklah kita semak al-Quran dan as-Sunnah. Jika tiada dalam keduanya, maka cepat-cepatlah anggap itu satu kebatilan, lebih selamat dan menyelamatkan kita.
Menceritakan hadith daripada Kathir ibn Abdullah (r.a), hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya berkata: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa menghidupkan sunnah dari sunnahku (yang) sungguh-sungguh (telah) dimatikan (atau dilupakan) sesudahku (yakni, setelah ketiadaanku), maka bahawasanya baginya pahala seperti pahala barang siapa yang beramal dengannya dari kalangan manusia, tidak dikurangi (atau mengurangi) dari pahala manusia yang beramal dengannya sedikitpun. Dan barangsiapa membuat dan mengajarkan bida’ah tidak redha atasnya Allah (a.w) dan RasulNya, maka sesungguhnya diberatkan (atau dipertanggungkan) atasnya dosa seumpama dosa barangsiapa yang beramal dengannya dari kalangan manusia, tidak mengurangi (atau dikurangi) dosa manusia yang mengamalkannya sedikitpun.’ [Hadith #210 sahih Ibnu Majah]
Dan juga hadith berikut yang menguatkan lagi hujjah kita bersandarkan nas dan dalil al-Hadith, bahawa mereka yang mengamalkan sesuatu yang bersifat bida’ah terkeluar dari Islam tanpa disedari:
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah bin ad-Dalamii hadith daripada Khuzaifah bin Yamani (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak diterima Allah (a.w) ahli-ahli bida’ah (yakni, mereka yang mencipta, yang mengajar, yang menganjurkan dan yang mengamalkan bida’ah) amalan puasanya, tidak diterima amalan solatnya, tidak diterima amalan sedekahnya, tidak diterima amalan haji dan tidak (juga) amalan umrahnya, dan tidak diterima amalan jihadnya, dan tidak diterima amalan-amalan fardu (yang lainnya) dan tidak (juga) amalan-amalan sunatnya (yang lain). Maka keluar dia dari Islam seperti keluarnya sehelai rambut dari adunan (tepong) roti.’ [Hadith #49 Ibnu Majah]
Ketetapan Rasulallah (s.a.w) itu adalah sejajar dengan ketetapan Allah (a.w) yang menyuruh umat Islam berpandukan as-Sunnah dan janganlah melanggar batasan-batasan atau ketetapan-ketetapan as-Sunnah. Sila rujuk firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w):
[Maksud: Dan barangsiapa yang melanggar batasan-batasan (yakni, ketentuan dan ketetapan) RasulNya setelah nyata baginya petunjuk (yakni, ketetapan tersebut ada di dalam as-Sunnah atau telah diberitahu) dan dia mengikut jalan selain jalan orang yang beriman (yakni, orang yang patuh berpandukan al-Quran dan as-Sunnah), Kami (Allah (a.w)) palingkan (mereka ke arah yang mereka tujui, yakni terus tersesat) dan akan Kami (Allah (a.w)) bakar mereka dalam Neraka Jahannam, dan Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali] [Ayat 115, Surah an-Nisa’]
Firman Allah (a.w):
[Maksud: Dan tidak boleh bagi seseorang orang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah (a.w) dan RasulNya memutuskan sesuatu urusan atau perkara (mengenai syariat agama Islam) bahawa mereka memilih dari urusan mereka (yakni, dia mengikut kehendaknya atau kata hatinya sendiri atau mereka memilih untuk mengikut ketetapan atau pandangan atau ajaran orang lain), (mereka itu menderhaka terhadap Allah (a.w) dan RasulNya) maka barangsiapa yang menderhaka kepada Allah (a.w) dan RasulNya (yakni, tidak akur dengan ketetapan Allah (a.w) (yakni al-Quran) dan Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-Sunnah)) sesungguhnya dia telah sesat dalam kesesatan yang nyata (yakni, jelas)] [Ayat 36, Surah al-Ahzab]


Pengamal Bida’ah Tidak Diakui Umat Muhammad (s.a.w)

Isu bida’ah itu adalah isu yang besar dan bukanlah isu yang remeh atau boleh diketepikan dengan mudah. Akibatnya amat membahayakan kepada amalan dan ibadah kita. Seseorang yang Islam yang beriman dan bertaqwa itu ingin mendapatkan keredhaan dan kerahamatan Allah (a.w) supaya mereka dapat syurga yang dijanjikan Allah (a.w). Semua yang Islam inginkan kejayaan di akhirat. Tetapi, mengamalkan bida’ah menyebabkan mereka terjerumus – mencari syurga tetapi dapat neraka, wal iyazubillah. Cuba kita teliti hadith ini:
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Pada suatu ketika antara kumpulan kami mengehendaki bertemu dengan Nabi (s.a.w) ketika itu Nabi (s.a.w) dalam keadaan mengantuk suatu rasa mengantuk yang amat sangat (yakni, kadangkala terjatuh kepalanya), kemudian diangkatnya kepalanya sambil tersenyum. ‘Maka bertanya aku (Anas) kepadanya: ‘Apakah yang (membuatkan) engkau wahai Rasulallah (s.a.w) tersenyum?’ ‘Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Telah diturunkan oleh Allah (a.w) atasku sebentar tadi satu surah

(Bismillahir-rahmanir-rahim@ Inna a’taina kal kauthar @ Fasalli-lirabbika wan-har@ Inna syaniaka hual abtar@)[2] [Maksud: Dengan nama Allah (a.w) yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Sesungguhnya Kami (Allah (a.w)) memberikan kepada engkau (Wahai Muhammad (s.a.w)) telaga al-Kauthar. Maka bersolatlah engkau kepada Tuhan engkau dan (sembelihlah) qurban. Sesungguhnya orang yang benci (kepada) engkau itu (yakni, tidak mengikuti syariat yang engkau bawakan)) terputuslah (dari apa-apa hubungan dengan engkau) (yakni, ditolak amalannya)’[Surah al-Kauthar].
‘Kemudian bersabda Nabi (s.a.w)(bertanya kepada para sahabat yang ada): ‘Apakah tahu engkau apa itu al-Kauthar?’ ‘Maka berkata aku (Anas): ‘Allah (a.w) dan Rasulnya sahajalah yang tahu.’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Maka sesungguhnya sungai (telaga) al-Kauthar itu menjanjikan padaku oleh Tuhan dalam Syurga, adapun gayungnya (atau pencedoknya) lebih banyak daripada hitungan bintang-bintang di langit. Akan datang kepadanya (yakni, ke telaga itu) umatku (untuk minum bagi menghapuskan kedahagaan yang amat sangat yang mereka alami semasa mereka berada di padang Makhsyar), maka ditolak (oleh Allah (a.w), yakni malaikat yang menjaganya) hamba-hamba (yakni, manusia) darinya. Maka bersabda aku (Nabi (s.a.w): ‘Ya Tuhanku (Allah (a.w))! Bukankah mereka (yang ditolak itu) dari umatku?’ ‘Maka berfirman Allah (a.w): ‘Sesungguhnya engkau (Muhammad (s.a.w)) tidak tahu apa-apa yang diperbaharui (yakni, membuat pembaharuan oleh umatmu terhadap syariatmu atau menyeleweng mereka dari syariatmu, seperti berbuat bida’ah) oleh mereka (tentang syariat ugamamu, yakni Islam) setelah engkau tiada (yakni, sesudah wafat Rasulallah (s.a.w)).’ [Hadith sahih an-Nasa’i & juga Hadith Muslim]
Hadith ini menjelaskan peristiwa turunnya Surah al-Kauthar. Juga, melalui Surah tersebut jugalah turunkan ayat atau kalimah ‘Basmalah’ itu. Kita semua tahu bahawa Basmalah itu dijadikan ayat pertama kesemua surah al-Quran kecuali Surat al-Bara’ah atau at-Taubah. Bagi kita yang sering membaca al-Quran kita akan temui bahawa ’Basmalah’ itu dijadikan Ayat 30 Surah an-Namli. Yang lebih penting diingati adalah isu ‘pembaharuan dalam urusan ugama Islam dan syariatnya’ atau apa yang secara umumnya dirujuk sebagai ‘bida’ah’ itu. Mereka yang membuatnya tidak diakui oleh Allah (a.w) umat Muhammad (s.a.w). Maka dengan itu mereka ditolak dan tidak mendapat syafaatnya dan semasa menunggu di padang makhsyar kelak selama 50 tahun mengikut kiraan tahun akhirat itu, mereka tidak dibenarkan minum air sungai atau telaga al-Kauthar!
[1] Mereka yang telah diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) supaya mengerjakan solat mereka sebagaimana beliau mengerjakan solat, tetapi mengerjakan solat mereka dengan cara dan kaedah yanglain adalah tergolong dari kalangan mereka yang engkarkan suruhan Rasulallah (s.a.w).
[2] Wahyu yang diterima oleh Rasulallah (s.a.w) tersebut merangkumi ‘Basmalah dan Surah al-Kauthar’ tersebut bersekali. Maksudnya, ‘Basmalah’ itu diturunkan sekali, bukanlah dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) sebelum membacakan Surah al-Kauthar tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...