Sunday, October 19, 2008

Islam: Ugama Yang Diredhai Allah (a.w)

Bermula dengan latarbelakang dan sinario masyarakat yang dibayangkan sepintas lalu itu, kita perlu lihat apakah Islam yang sebenarnya, iaitu Islam yang dikatakan Ahli as-Sunnah wal-Jamaah itu, yakni Islam berpandukan as-Sunnah. Dengan lain perkataan, apakah dia syariat Islam yang haq. Bagaimanakah umat Islam diperintah dan disuruh membuat amalan dan ibadah menepati ketetapan syariat Islam yang haq itu? Dalam meneliti Islam dan syariatnya, kita wajib berpandukan apa yang diperintahkan oleh Allah (a.w), yang mencipta ugama Islam, dan apa yang diperintah oleh Rasulallah (s.a.w), Utusan Allah (a.w), yang diperintah oleh Allah (a.w) menyampaikan dan mengajarkan Islam dan syariat Islam kepada manusia, khususnya umat Islam.
Titik permulaan keIslaman kita adalah ketetapan Allah (a.w) bahawa hanya ugama Islam sahaja ugama yang diterima atau diredhai Allah (a.w).
Firman Allah (a.w): ‘
(Wama khalaqtul jinna wal-insa illa li-ya’buduni) [Maksud: Dan tidaklah Aku (Allah (a.w)) jadikan jinn dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (yakni, beribadah) kepada Aku (Allah (a.w))] [Ayat 56, Surah az-Zariat]
Kita diberi kesempatan untuk berada di dunia dan menikmati kehidupan di dunia kerana semata-mata untuk mengabdikan diri atau memperhambakan diri kepada Allah (a.w). Kita hanya dikira berjaya memperhambakan diri kita jika kita taatkan perintah dan suruhan Allah (a.w) dan taatkan perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w). Pelaksaan ketaatan tersebut adalah dimanifestasikan melalui amalan dan ibadah, terutama solat. Jika kita mentaati Allah (a.w) dan mentaati Rasulallah (s.a.w), maka kita diberikan syurga, seperti firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w):
[Maksud: Dan barangsiapa taatkan Allah (a.w) (yakni, ikuti al-Quran) dan RasulNya (yakni, ikuti as-Sunnah) dimasukkannya ke dalam syurga.’[Ayat 13, Surah an-Nisa’]
Sebaliknya pula, jika kita tidak taatkan Allah (a.w) atau berpaling atau tidak menerima ketetapan Allah (a.w) dan jika kita tidak taatkan Rasulallah (s.a.w) dan kita menyimpang daripada ketetapan Rasulallah (s.a.w), maka kita pasti gagal memperhambakan diri kita kepada Allah (a.w). Maka dengan itu kita dicampakkan ke dalam neraka, seperti firman Allah (a.w) berikut.
Firman Allah (a.w):
[Maksud: Dan barangsiapa menentang Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan RasulNya (yakni, as-Sunnah) dan melanggar batas-batas ketetapan yang ditetapkan (oleh Allah (a.w) di dalam al-Quran dan RasulNya di dalam as-Sunnah) dimasukkan ke dalam neraka.][Ayat 14, Surah an-Nisa’]
Dua ayat tersebut jelas memberi sempadan kepada manusia semasa hidupnya. Mereka hanya diberikan dua pilihan. Kita diberi peluang hidup di di dunia ini secara bersyarat. Semua yang Islam hendaklah menjadikan firman ini pedoman hidup mereka – sama ada pentadbir ugama Islam ataupun umat atau jemaah Islam yang ditadbirkan oleh mereka. Mereka tidak boleh lari daripada speks dan ketetapan ini. Sesiapa yang mengajar umat Islam menepati ketetapan ini pastilah dia benar dan pengikut-pengikutnya juga pasti benar. Jemaah, dalam mengajarkan ilmu as-Sunnah sudah pastilah berada di jalan yang benar kerana as-Sunnah itu adalah sumber syariat Islam yang haq dan perlembagaan induk amalan dan ibadah umat Islam.


Syariat Islam: Al-Quran dan as-Sunnah

Kedua-dua ayat al-Quran di atas itu memberikan panduan yang haq lagi hakiki kepada kita yang Islam dalam menjalani kehidupan di dunia: pertama, kita wajib mentaati Allah (a.w); kedua, kita wajib mentaati Rasulallah (s.a.w), dan ketiga, kita wajib patuhi dan akur dengan batas-batasan dan ketetapan Allah (a.w) dan ketatapan Rasulallah (s.a.w). Jika kita langgar salah satu kategori perintah tersebut, kita gagal menjadi umat Islam, dan lebih bahaya lagi, kita gagal memperhambakan diri kita kepada Allah (a.w).
Kita tahu bahawa keimanan kita yang Islam mengakui kewujudan Aallah (a.w). Tetapi, kita tidak berkesempatan menemui Allah (a.w) secara hakiki di dalam dunia ini. Oleh yang demikian, bagaimana mentaati Allah (a.w)? Kita juga tidak berkesempatan menemui Rasulallah (s.a.w) untuk belajar dan mengetahui Islam dan syariatnya, yang dibawakannya kepada kita. Justeru itu, bagaimana mentaati Rasulallah (s.a.w)?
Bagaimanakah kita mempastikan bahawa kita hidup di dunia ini disempadani oleh batasan-batasan atau had-had yang ditetapkan oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w)? Dengan pengetahuan mengenai dimensi-dimensi perintah tersebut kita akan selamat dan berjaya mendapat syurga Allah (a.w) dan terhindarlah dari seksaan neraka.
Jawabnya mudah. Mentaati Allah (a.w) bererti kita ikut apa kata (firman) Allah (a.w) di dalam al-Quran. Mentaati Rasulallah (s.a.w) bererti kita ikut apa yang Rasulallah (s.a.w) kata (sabdakan) dalam al-Hadith atau as-Sunnah. Supaya kita tidak melampaui batasan dan had yang ditetapkan oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), kita perlukan ilmu. Bukanlah sebarang ilmu. Kita perlu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, itu sahaja sumber ilmu yang haq. Maka dengan itu kita wajib belajar atau menuntut ilmu mengenai al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith). Jika tidak bagaimana kita boleh tahu perintah dan ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan dan perintah Rasulallah (s.a.w). Kerana manusia tidak berkomunikasi dengan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) sudah tiada bersama kita. Maka dengan itulah umat Islam yang benar itu wajib mencari ilmu yang haq dan mereka yang memiliki ilmu yang haq wajib pula mengajarkannya kepada mereka yang tidak berilmu. Di dalam Islam sumber ilmu dan asas amalan dan ibadah umat Islam adalah hanya al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith).


Ilmu dan Asas Pengabdian

Di dalam al-Quran Allah (a.w) seringkali menyebutkan tentang kejahilan umat-umat zaman kedatangan para rasul dan para nabi. Mereka berpandukan ilmu dan ajaran nenek moyang mereka. Mereka menolak ajaran atau syariat ugama yang dibawakan oleh para rasul dan nabi zaman mereka kerana mereka jahil tentang Allah (a.w). Mereka jahil tentang tujuan mereka diberi peluang hidup di dunia. Jahil mereka itu dicampur pula dengan perasaan kesombongan mereka kerana mempercayai nenek moyang dan mahaguru-mahagur ugama mereka turun temurun. Mereka tidak mengikuti ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan rasul yang diutuskan kepada mereka.
Maka dengan itulah ilmu itu amat penting bagi umat Islam yang ingin kepastian bahawa mereka benar-benar berbuat segala sesuatu yang menepati ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w). Kita tidak wajar mencontohi perlakuan dan resam masyarakat zaman rasul dan nabi dahulu. Kita jahil. Maka kita berpandukan ajaran nenek moyang. Kita berpandukan ajaran mahaguru dan para ulama’ yang tidak berpandukan sumber ilmu yang haq dan asas amalan dan ibadah yang sah. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) berpesan kepada kita yang Islam itu: ‘Al-ilmu qabla amal’ [Maksud: ‘Beramallah dengan ilmu atau berilmu dahulu kemudian barulan beramal’]. Janganlah kita beramal dan beribadah atas kejahilan atau tanpa ilmu. Maka dengan itulah, Rasulallah (s.a.w) menyuruh umat Islam mencari ilmu, seperti sabdanya berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Omar ibni Khattab (r.a): ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Tolibul ilmi faridatun ‘ala kulli Muslim’ [Maksud: Mencari atau menuntut ilmu itu wajib tas tiap-tiap orang Islam] [Hadith Bukhari & Muslim]
Ini juga perintah wajib. Adalah menjadi tanggung jawab utama setiap yang Islam itu mencari ilmu mengenai ugama Islam dan syariatnya supaya hilanglah kejahilannya dan tidaklah dia beramal dan beribadah secara ikut-ikutan sahaja. Bagi mereka yang berilmu pula, terutama mereka yang menjadi pentadbir umat Islam, wajib bagi mereka mengajar dan menyampaikan ilmu kepada jemaah atau umat Islam. Jika tidak disampaikan bererti mereka menyembunyikan ilmu. Adalah dosa yang besar menyembunyikan ilmu.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Menuntut (belajar) ilmu (iaitu ilmu mengenai syariat Islam itu) fardu (wajib) atas setiap orang Islam. Dan meletakkan (atau mengajar ilmu) oleh seseorang selain daripada ahli ilmu seumpama mengalongkan rantai yang diperbuat daripada mutiara, permata dan emas ke leher babi.’ [Hadith #224 sahih Ibnu Majah]
Mengajar dan belajar ilmu itu sendiri mendapat pahala yang besar seperti yang disebutkan di dalam sepotong hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan, barangsiapa berjalan suatu jalan yang mencari (kerana perjalanan itu) ilmu, memudahkan Allah (a.w) baginya dengan perjalannya itu jalan ke syurga. Dan tidak mengumpulkan sesuatu kaum di dalam suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (a.w) membaca Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan saling mengulangkaji antara mereka as-Sunnah, kecuali mengelilingi para malaikat dan turun atas mereka ketenangan dan menurunkan kepada mereka kerahmatan (oleh Allah (a.w)). Dan menyebut-nyebutkan Allah (a.w) di dalam sisiNya. Dan, barangsiapa yang lemah dengan (kemahuan mencari ilmu) dengan amalannya, tidak mempercepatkan baginya nasibnya.’ [Hadith #225, ibnu Majah]
Tetapi, kita diperingatkan bahawa janganlah pula kita ada ilmu tetapi mengajarkannya hanya untuk mendapat laba atau keuntungan dunia. Contoh, kita kedekut ilmu, kita hanya sampaikan jikalau diberi upah lumayan atau diberi jawatan tinggi. Jika tidak ada habuan kita tidak sanggup mengajar orang lain. Ancamannya adalah seperti hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amru (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘(Wajib) Sampaikan olehmu daripadaku jikalaupun satu ayat dan cerita-cerita daripada kaum Bani Israil tiada mengapa (disampaikan kepada umat Islam) dan barangsiapa berbuat bohong atasku dengan sengaja maka hendaklah ambil tempat duduknya dalam neraka.’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Sepotong hadith lain menyebutkan pula:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa mengajar ilmu kerana mengharapkan dari ilmu itu wajah Allah (a.w) (yakni, ikhlas kerana Allah (a.w) dan kerana hendak memperbaiki amalan dan ibadatnya, dan mencari keredhaan Allah (a.w)), tidak belajar dia ilmu untuk dapat harta dengan ilmu itu dari harta dunia, (jika itu tujuannya maka) tidak menjumpai dia bau syurga pada hari qiamat.’ [Kata perawi: istilah yang digunakan oleh Nabi (s.a.w) ‘Baunya syurga’]. [Hadith #252 sahih Ibnu Majah & Hadith Abu Daud]
Mereka yang ada ilmu kemudian tidak mahu menyampaikannya akan dimasukkan ke dalam neraka. Begitu beratnya ketetapan Islam terhadap mereka yang mempunyai ilmu itu. Ini disebutkan juga di dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata daripada Nabi (s.a.w) berkata: ‘Tidak dari seseorang lelaki hafal ilmu maka disembunyikannya dari orang lain, kecuali didatangkan dengannya pada hari qiamat digari (yakni, dirantai) dengan rantai (gari yang diperbuat) dari api neraka.’ [Hadith #261 sahih Ibnu Majah]
Menyebunyikan ilmu mengenai as-Sunnah atau al-Hadith amat dilarang dalam Islam. Maka dengan itu, ilmu mengenai as-Sunnah itu wajib disampaikan kepada orang Islam yang lain, maka dengan itu guru-guru dalam Jemaah yang diajarkan ilmu wajib menyampaikannya kepada ahli Jemaah. Justeru itu, sesiapa yang melarang seseorang menyampaikan ilmu syariat Islam yang haq itu mereka juga tergolong dari kalangan mereka yang cuba menyembunyikan ilmu. Mereka juga akan dimasukkan ke dalam neraka. Ini ketetapan as-Sunnah:
Diriwayatkan hadith daripada Jabir (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika melaknat orang-orang terkemudian dari umatku atas orang-orang yang terdahulunya, maka barangsiapa merahsiakan hadith maka sungguh-sungguh menyembunyikan apa-apa yang diturunkan oleh Allah (a.w)(yakni, melanggar perintah Allah (a.w) yang menyuruh sesiapa yang tahu sesuatu ilmu itu menyampaikannya).’ [Hadith #263 sahih Ibnu Majah]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...